Kerja Kursus Moral Buli

May 4, 2018 | Author: Anonymous | Category: Documents
Report this link


Description

1.0 Pengenalan Murid ialah generasi pelapis pada masa akan datang. Mereka bakal diamanahkan untuk memimpin dan menerajui Negara Malaysia. Bagi merealisasikan dan mencapai hasrat aspirasi ini, institusi sekolah disandarkan menjadi pusat pembentukan jati diri dan pengisian modal insan. Kerajaan, masyarakat, ibu bapa, dan para pendidik mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam menentukan hala tuju generasi ini. Namun, beberapa insiden pelanggaran disiplin melibatkan tingkah laku seperti buli yang berlaku dalam dunia persekolahan dewasa ini sedikit sebanyak telah mencemarkan harapan dan aspirasi ini. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama, bertanggungjawab membenteras gejala ini hingga ini hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 2.0 Masalah buli Menurut Kamus Dewan, Edisi keempat (2007), buli ditakrifkan sebagai perbuatan mendera, mempermainkan seseorang, supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. Pembuli biasanya mempermain-mainkan, mendera orang yang lemah, dengan tujuan untuk menggertak, menakutkan orang yang berkenaan sekadar untuk berseronok. Menurut The American Heritage ® Dictionary mengatakan “bully (noun); A person who is habituallycruel or overbearing, especially to smaller or weaker people”. Apa yang dapat disimpulkan dari kesemua definisi di atas ialah buli ialah sebuah perbuatan kasar yang dilakukan terhadap seseorang yang diangkap lebih lemah dari diri si pelaku. Buli terbahagi kepada dua iaitu buli fizikal dan buli mental. Buli fizikal amatlah ekstrim. Buli fizikal merujuk kepada perbuatan penggunaan anggota kaki mahupun tangan ke atas mangsa buli. Antara contoh buli fizikal ialah memukul, menendang, mencubit, menumbuk dan memaksa mangsa buli untuk melakukan kerja seperti basuh baju dan membeli barang. Buli fizikal ini dianggap sebagai satu perbuatan yang amat negatif dan ekstrim kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Mangsa turut dibuli dengan lebih teruk jika dia cuba mengelak atau melaporkan kepada lain. Berdasarkan pemerhatian buli fizikal ini kebiasannya dilakukan oleh mereka yang mempunyai sifat ego yang tinggi yang benar-benar menyangka dirinya lebih kuat dan hebat berbanding orang lain. Buli mental boleh meninggalkan kesan mendalam pada mental mangsa. Buli mental atau kata lainnya ialah buli psikologi ialah buli yang menghentam pemikiran individu tanpa perbuatan fizikal. Misalnya ialah mengejek, mencaci, mencerca, memaki hamun dan memulaukan seseorang. Kesan buli mental ini amatlah teruk dan boleh mengakibatkan trauma kerana mangsa akan teringat-ingat kata-kata yang dikeluarkan oleh si pelaku. Buli mental ini biasanya berlaku di sekolah oleh seseorang yang merasakan dirinya lebih hebat atau mahu menjatuhkan seseorang akibat daripada perasaan cemburu. Buli mental ini boleh dilihat terutamanya di sekolah rendah. 3.0 Punca masalah Punca masalah yang dipilih adalah kesibukan ibu bapa, rakan-rakan sebaya dan aksi ganas dalam filem dan drama. Punca-punca tersebut dihurakan seperti dibawah. 3.1 Kesibukan ibu bapa Menurut Dolge (1994) dalam Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Yusof Boon dan Zurhana Muhamad (2008) mengatakan keluarga adalah satu-satunya agen sosialisasi yang penting di dalam masyarakat. Hal ini kerana, ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab dalam memberi kanak-kanak pendedahan awal sosialisasi di peringkat kehidupannya. Sekarang ini, kebanyakan ibu bapa terlalu mengejar kemewahan dunia dan lebih bersikap materialistik untuk memenuhi segala keperluan hidup hinggakan kurangnya masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Tidak dinafikan lagi, kebanyakan ibu bapa sekarang ini mahukan kehidupan yang lebih baik dan terjamin untuk anak-anak sehinggakan mereka terlupakan tanggungjawab mereka kepada anak-anak. Mereka mengabaikan anak-anak untuk mengejar kemewahan hidup. Menurut Redl (1966) dalam Azizi Yahya et al. (2008) tekanan hidup, kesibukan kerja, kesibukan mengejar kemewahan serta aktiviti sosial menyebabkan ibu bapa dan anak-anak kurang mempunyai masa dan kesempatan untuk bercakap, berbincang ataupun berdampingan antara satu sama lain, malahan jarang bersua muka. Ibu bapa tidak dapat memberi asuhan dan didikan yang sempurna, sementara pelajar pula tidak mendapat perhatian, bimbingan dan panduan hidup yang sempurna. Terdapat juga ibu bapa terlalu garang dengan dengan anak-anak. Anak-anak adalah tempat mereka melepaskan stres di tempat kerja. Anak-anak akan dipukul, ditendang dengan sesuka hati kerana melakukan kesalahan yang menyakitkan hati ibu bapa. Pelajar menjadi pembuli akibat daripada kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Pelajar pembuli akan membawa perasaan dendam dan geram kepada ibu bapa ke sekolah dan dilepaskan dengan cara membuli pelajar lain di sekolah. Dari situ mereka berasa gah dan lega setelah berjaya melepaskan geram yang dipendam. 3.2 Rakan-rakan sebaya Rakan-rakan yang sering mempengaruhi untuk pelaku membuli. Pengaruh rakan amatlah sinonim dengan apa jua gejala negatif di sekolah. Oleh yang demikian pelajar sering diingatkan supaya bijak memilih dan menilai kawan. Pengaruh rakan sebaya dalam tingkah laku seseorang amatlah sukar untuk dibendung kerana rakan adalah pihak yang sentiasa bersama seseorang individu. Tidak dinafikan, terdapat banyak pelajar yang membuli pelajar lain kerana mengikut kawan. Bagi si pelaku, ia adalah sesuatu yang menyeronokkan melihat pelajar lain dibuli beramai-ramai oleh rakan-rakan yang ‘sekepala’ dengan dirinya. Dari situ, hubungan mereka bertambah erat dan seterusnya akan lebih giat membuli pelajar lain. 3.3 Aksi ganas dalam filem dan drama Sekarang ini, boleh dikatakan setiap keluarga di Malaysia mempunyai televisyen. Semua orang suka menonton televisyen di waktu lapang. Tidak terkecuali dengan remaja. Remaja amat gemar menonton televisyen. Kebanyakan rancangan di televisyen kini sering memaparkan aksi ganas seperti bergaduh, mencuri, ponteng sekolah dan berlagak samseng. Aksi sebegini ditonton oleh semua lapisan masyakat. Aksi-aksi ini akan dicontohi oleh pelajar yang gemar meniru perbuatan ganas orang lain. Tujuan aksi ganas ditonjolkan adalah untuk memberi pengajaran dan panduan kepada penonton bahawa setiap kejahatan akan mendapat balasan seperti hukuman penjara. Namun, mesej yang ingin disampaikan telah disalahgunakan. Aksi-aksi yang ditonjolkan ini lebih menarik perhatian pelajar pembuli untuk ditiru bersama rakan-rakan sekutunya. Pelajar pembuli ini meniru aksi yang dilihat dan mempraktikkan dengan cara membuli pelajar lain. Pelajar pembuli akan berasa mereka lebih bergaya dan setaraf dengan para pelakon yang melakonkan aksi tersebut. 4.0 Kesan kepada pelajar, guru dan sekolah 4.1 Kesan kepada pelajar Pelajar yang menjadi mangsa buli akan mempunyai masalah yang serius dalam aspek pergaulan. Individu yang dibuli akan mengalami kesan negatif seperti menjadi pendiam ketika berada di rumah mahupun sekolah. Apabila gejala ini berlarutan ia akan merenggangkan hubungan dengan ahli keluarga dan juga rakan-rakan. Mangsa buli lebih gemar untuk menyendiri berbanding berkongsi masalah dengan ahli keluarga terdekat seperti ibu dan bapa. Bukan itu sahaja, mangsa buli juga akan mengalami perasaan takut untuk ke sekolah. Mangsa buli ini berpendapat, kehadiran mereka ke sekolah hanya akan memberi peluang untuk dibuli oleh pembuli dengan sewenang-wenangnya. Menurut Charach, Pepler dan Ziegler (1990) dalam Azizi Yahaya dan Abdul Latif Ahmad (2005), mengatakan bahawa mangsa buli kurang yakin terhadap keupayaan pihak sekolah untuk menyelesaikan masalah buli. Ini berlaku kerana guru kurang membincangkan tentang permasalahan perlakuan buli di dalam bilik darjah. Pihak sekolah akan memberi perhatian yang serius terhadap masalah buli sekiranya melibatkan ancaman fizikal dan pergaduhan. Di samping itu juga, mangsa buli turut mengalami masalah daripada aspek komunikasi yang berkesan. Kebanyakan pelajar yang dibuli akan menunjukkan sikap kurang minat untuk berinteraksi. Keadaan ini berlaku kerana pelajar itu bimbang percakapannya akan dijadikan bahan ejekkan oleh pembuli. Pelajar yang dibuli akan mengalami gangguan emosi yang serius yang akan memberi impak yang besar kepada personaliti remaja. Golongan pelajar merupakan golongan yang sering berhadapan dengan konflik emosi dan tingkah laku. Konflik ini akan menjadi lebih kritikal apabila pelajar berhadapan dengan masalah serius seperti buli. Hal ini adalah kerana semasa peringkat remaja emosi individu dikatakan lebih sensitif berbanding sebelumnya. Emosi mereka juga sering terganggu akibat daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada tubuh badan dan  limpahan hormon agak ketara. Mangsa buli akan menganggap diri mereka seorang yang bodoh dan tidak berguna. Menurut Hooover dan Juul (1993)  dalam  Sanders  dan Phye (2004) mangsa buli mempunyai keyakinan diri rendah dan tahap kebimbangan sosial yang tinggi. Gangguan emosi sering membebani mangsa buli dan mengakibatkan prestasi pelajaran mereka akan merosot. Keseronokan mengikuti aktiviti harian juga akan terjejas. Ada juga mangsa buli yang mengalami tekanan perasaan dan dinasihatkan supaya berjumpa dengan pakar psikologi yang bagi membantu mereka melepaskan diri daripada trauma yang dihadapi akibat dibuli secara berterusan. Kesan buliyang paling membimbangkan adalah keinginan untuk membunuh diri. Pembuli pula sebenarnya adalah golongan yang tidak menyedari bahawa diri mereka sedang menghadapi masalah menjalani kehidupan sosial yang baik. Contohnya, apabila seorang pelajar yang suka membuli mereka akan cuba menunjukkan reaksi kekerasan untuk mendapatkan barangan yang mereka hajati. Keadaan ini berlaku lantaran daripada sikap ego serta angkuh yang tinggi pada diri pelajar pembuli. Menurut Freud dalam Suppiah Nachiappan et al. (2009) melalui Teori Psikoanalis, Freud menjelaskan bahawa remaja mempunyai tahap komponen personaliti yang berbeza-beza terdiri daripada id, ego dan superego. Komponen ego dikatakan terbentuk daripada pengalaman manakala super ego terbentuk daripada baka atau persekitaran. Seorang pelajar yang menjadi pembuli itu akan membesar sebagai seorang insan yang tidak berdisiplin dan gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam pencapaian akademiknya. Proses pembelajaran pembuli  akan terganggu kerana mereka sering dipanggil oleh guru disiplin dalam membantu mencari penyelesaian yang terbaik dalam setiap masalah yang dilakukan oleh mereka di sekolah. Masa belajar pembuli juga akan berkurangan kerana terpaksa menjalani hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan untuk memberi pengajaran kepada pembuli. Pelajar pembuli akan menjadi bertambah agresif sekiranya mereka  berterusan membuli. Pembuli akan menganggap cara agresif mereka mengekspresikan kemarahan atau kekuatan terhadap orang lain adalah tidak salah. Selalunya masalah buli berlaku kepada dua pelajar yang berlainan saiz badan. Individu yang besar cuba untuk menonjolkan kekuatan dan kekuasaannya terhadap golongan yang lemah. Menurut Dodge (1991) dalam Sanders dan  Phye (2004) agressi dapat dibahagikan kepada dua iaitu reaktif dan progresif. Golongan pembuli dikatakan tergolong dalam kumpulan reaktif kerana tindakan mereka biasanya melibatkan kemarahan. Amat dibimbingi pelajar pembuli akan menjadi penjenayah yang agresif yang melakukan kesalahan seperti merogol, merompak dan mencederakan isteri suatu hari nanti. Oelh itu langkah pencegahan dari merebakkan kes buli di sekolah harus dibendung dengan segera. 4.2 Kesan terhadap guru Pelajar yang terlibat dengan kes buli adalah terdiri murid-murid yang lemah di dalam pelajaran. Bagi menjaga imej mereka dikalangan rakan-rakan dan supaya tidak dipandang rendah, mereka menunjukkan kuasa mereka kepada rakan yang lain seperti melakukan perbuatan membuli rakan- rakan yang dianggap lemah. Pelajar pembuli ini tidak berminat untuk belajar dan sering melakukan masalah di dalam kelas. Pelajar ini suka menganggu rakan dengan cara mengusik mereka dan menyorokkan barang- barang mereka terutamanya pelajar perempuan. Mereka merasa bangga apabila rakan- rakan mereka menjerit dan menangis kerana barang mereka hilang. Mereka juga akan menganggu pengajaran guru di dalam kelas akibat perasaan bosan mereka kerana tidak berdaya untuk menguasai pelajaran yang diajarkan oleh guru. Sekiranya mereka mendapati guru yang mengajar itu kurang menarik perhatian, mereka akan menganggu pengajaran guru tersebut. Pelajar pembuli ini tidak akan membuat kerja yang diberikan oleh guru. Mereka juga sering tidak membawa buku teks dan latihan ke sekolah. Pembuli juga akan memaksa rakan-rakan mereka yang lemah untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru. Pengajaran guru di dalam kelas tidak akan dapat dijalankan dengan baik kerana sering terganggu dengan pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku seperti pembuli ini. 4.3 Kesan terhadap sekolah Masalah buli adalah satu fenomena yang banyak berlaku di sekolah ketika ini. Masalah buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah masalah utama di sekolah Malaysia . Perbuatan buli dilakukan oleh pelajar lelaki dan perempuan. Pelajar perempuan terlibat dengan tingkah laku buli psikologi seperti ejek, fitnah, pulau dan sisih, sementara pelajar lelaki lebih banyak terlibat dengan tingkah laku buli fizikal seperti menolak, memukul dan menepeleng. Masalah buli semakin menyeramkan apabila boleh melibatkan kematian. Murid yang lemah dan berbadan kecil sering menjadi mangsa buli. Pembuli biasanya terdiri daripada murid yang berbadan tegap dan besar. Masalah buli sekarang melibatkan pelajar di kelas yang berbeza. Murid yang lebih besar akan membuli pelajar yang lebih kecil daripada mereka. Contohnya pelajar tahun tiga akan membuli pelajar tahun dua. Pelajar tahun enam akan membuli pelajar tahun lima dan tahun empat. Masalah buli sekarang ini kian hebat apabila pembuli membuat ugutan akan mencederakan mangsa buli sekiranya enggan memberikan wang yang dikehendaki. Jumlah wang yang terlibat adalah dalam jumlah yang banyak seperti wang yang diberikan ibu bapa untuk membayar wang tuisyen, tambang van dan wang untuk mengikuti lawatan. Pembuli–pembuli sering mendapat info daripada rakan-rakannya tentang murid yang mempunyai wang yang banyak. Strategi akan disusun untuk mendapatkan wang tersebut. Sekarang ini jumlah wang yang diugut oleh pembuli adalah dalam jumlah yang lebih besar. Contohnya kes yang berlaku di sekolah rendah di Kuala Selangor tempat saya mengajar, wang ugutan yang diminta oleh pembuli adalah berjumlah RM 600. Wang ini berjaya diperolehi oleh pembuli. Mangsa telah mengambil wang emaknya untuk diberikan kepada pembuli kerana takut dicederakan oleh pembuli yang berbadan besar. Pembuli ini adalah pelajar di Tahun 6. Sementara mangsa buli pula adalah di Tahun 4. Ramai pelajar yang engggan datang ke sekolah kerana takut dibuli oleh rakan mereka. Tempat-tempat aktiviti buli biasanya adalah tempat yang tersembunyi di sekolah seperti tandas, belakang bangunan sekolah, stor dan di padang sekolah. Pelajar pembuli biasanya kerap melawan dan keras kepala dan membantah setiap tindakan yang diambil terhadap mereka. Pelajar pembuli ini menyedari bahawa mereka akan mendapat bantuan daripada ibu bapa mereka apabila mereka tertangkap melakukan kesalahan membuli. Pelajar pembuli ini biasanya mendapat sokongan dan perlindungan daripada ibu bapa. Ibu bapa akan memberi pelbagai alasan untuk menyokong tindakan anak-anak mereka. Didikan dan asuhan daripada ibu bapa inilah yang akan mendorong dan menentukan tingkah laku anak-anak mereka. Kebanyakan masalah jenayah di sekolah bermula dengan masalah buli. Masalah buli perlu dipandang serius kerana ia akan menjadi satu masalah besar kepada negara pada masa hadapan. Tingkah laku buli dalam kalangan pelajar perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat dengan disiplin, kebajikan dan keselamatan pelajar. Masalah tingkah laku buli perlu ditangani dengan sebaik mungkin supaya ianya tidak menjadi masalah yang boleh mendatangkan kesan kepada perkembangan akademik dan sahsiah pelajar. Pembuli dan mangsa buli akan mengalami masalah kemerosotan dalam pelajaran. Pembuli akan terus membina sikap keegoaan diri dan merasakan pelajaran adalah sesuatu yang membebankan dan membosankan. Pembuli lebih gembira melakukan perbuatan buli kepada rakan-rakan. Kesan berdarah, menangis dan lebam dimuka mangsa buli adalah suatu kepuasan kepada pembuli. Mereka telah berjaya membuktikan diri mereka telah menang. Kebanyakkan kejadian buli yang berlaku di jalan-jalan raya dan luar sekolah juga dikaitkan dengan kejadian buli yang berlaku di sekolah. Apabila pembuli tidak dapat melaksanakan buli terhadap mangsa buli, mereka akan mencari ruang di luar waktu persekolahan. Pembuli jalan raya ialah seorang yang ketika persekolahannya juga merupakan seorang pembuli. Ini menunjukkan wujud pertalian antara tingkah laku buli dan kenakalan semasa di sekolah dengan tingkah laku agresif dan ganas semasa dewasa. Ini menunjukkan zaman kanak-kanak juga mempengaruhi tingkah laku apabila meningkat dewasa. 5.0 Statistik membuli mengikut Lembaga Disiplin Sekolah. Menurut statistik sebuah Sekolah di Puncak Alam Kuala Selangor masalah buli adalah antara masalah yang paling kerap berlaku di sekolah ini. Masalah bergaduh dengan rakan dan pengawas adalah merupakan jumlah masalah tingkah laku yang paling kerap dilakukan oleh pelajar di sekolah ini. Jumlah kes yang melibatkan tingkah laku bergaduh dengan rakan adalah sebanyak 30 kes. Sementara masalah meminta wang secara paksa dengan rakan adalah merupakan masalah kedua tertinggi yang dihadapi di sekolah ini. Kes meminta wang secara paksa adalah sebanyak 8 kes. Jumlah wang terlibat dalam kes peras ugut ini adalah sebanyak RM 600.00. Masalah menganggu rakan dengan menyorokkan barang rakan juga ada terjadi di sekolah ini. Jumlah kes seperti ini adalah 8 kes. Masalah buli yang lain adalah mengoyakkan buku rakan sebanyak 3 kes. Sementara kes mengejek rakan dan mengurung rakan di dalam tandas ke dua-dua adalah berjumlah sebanyak 1 kes. Semua kes ini menjadikan sekolah ini bermasalah dalam pencapaian akademik. Murid sekolah ini kurang cemerlang dalam peperiksaan. Di dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah tahun lepas, sekolah ini hanya mempunyai 65 peratus pencapaian keseluruhan kelulusan. Usaha keras harus dilakukan oleh semua pihak bagi memastikan pembentukan tingkah laku yang baik akan dapat diterapkan dan pelajar bermotivasi untuk belajar bagi menjamin kejayaan di masa depan. 6.0 Cara mengatasi masalah buli. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam membendung masalah buli ini. Masa pelajar lebih banyak dihabiskan di rumah berbanding di sekolah. Ibu bapa haruslah berperanan dalam memberikan pendekatan dan cara yang terbaik bagi membentuk sahsiah remaja pelajar ini. Ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan asuhan yang mencukupi dan merangkumi aspek jasmani, rohani dan emosi kepada anak-anak remaja ini supaya tidak berlaku ketempangan dalam diri mereka. Hal ini pernah disebut oleh Siddiq Fadhil dalam Mustaffa Kamil Ayub (1994) yang mengatakan bahawa manusia seutuhnya dengan segala aspek, dimensi dan potensinya harus dibina dengan seimbang sehingga mencapai keadaan keseimbangan. Dengan adanya asas agama yang teguh, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus kepada perkara-perkara yang tidak baik. Ibu bapa juga perlu menanamkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak seperti menjalinkan hubungan yang baik dengan orang lain. Selain itu, ibu bapa haruslah berbincang dan menghabiskan masa dengan memperuntukan masa yang berkualiti untuk mengetahui perkembangan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menjadi rakan kepada anak-anak remaja ini. Dengan cara ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan ibu bapa sebagai tempat rujukan dan tempat berkongsi dan meluahkan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Ibu bapa tidak perlu membuat spekulasi yang tidak baik ataupun menghukum anak-anak remaja ini. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaiannnya. Ibu bapa juga digalakkkan merancang aktiviti bersama anak-anak dan ahli keluarga dan perlu sentiasa memantau keadaan anak-anak. Ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak bersendirian. Anak-anak perlu dibimbing dalam menentukan jalan hidup. Ibu bapa adalah model bagi anak-anak, jika ibu bapa menunjukkan tingkah laku agresif di hadapan anak-anak, mereka akan meniru tingkah laku itu. Menurut Olweus (1978) dalam Azizi Yahaya et al. (2008) mengatakan salah satu sebab mengapa pemerhati kejadian buli turut membuli adalah kerana peniruan. Ibu bapa perlu memberikan contoh teladan yang baik supaya anak-anak boleh meniru tingkah laku ibu bapa seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan. Bahasa dan perlakuan ibu bapa yang kasar akan mudah untuk ditiru dan dipraktikkan oleh anak-anak untuk mengejek dan membuli rakan-rakan. Selain itu juga, ibu bapa perlu mengenali rakan-rakan anak. Rakan sebaya mempengaruhi dan memberi impak yang besar terhadap tingkah laku dan kelakuan seseorang individu itu. Rakan sebaya merupakan insan yang rapat dengan remaja selain ibu bapa. Rakan sebaya yang baik akan mendorong rakan-rakan untuk membuat kebaikkan. Rakan sebaya yang baik harus melaporkan kepada guru jika melihat kes buli. Sikap takut kepada pembuli harus dikikis supaya masalah buli ini tidak menjadi lebih serius dan dapat dibenteras. Rakan sebaya yang baik seharusnya memberi semangat kepada mangsa buli supaya penderitaan mangsa tersebut akan berkurangan. Mangsa buli ini amat memerlukan sokongan dan dorongan dari rakan sebaya untuk mengembalikan semangatnya yang hilang akibat kejadian buli tersebut. Menurut Nesbitt (1999) dalam Azizi Yahaya (2008) pelajar yang mempunyai ciri-ciri personaliti yang lemah seperti pemalu, pasif dan tidak bermaya berpotensi untuk menjadi mangsa buli. Mangsa buli ini juga merupakan pelajar yang tidak mempunyai keyakinan diri dan kurang popular dalam kalangan rakan sebaya. Oleh yang demikian, sebagai rakan sebaya seharusnya berdampingan dan berinteraksi serta mengajak mangsa buli ini menyertai aktiviti-aktiviti sosial seperti menyertai Kelab Rakan Sebaya atau kelas seni mempertahankan diri supaya mangsa buli ini berkeyakinan dan mempunyai nilai keyakinan diri yang tinggi dan tidak mudah menjadi mangsa buli lagi. Rakan sebaya juga tidak boleh meminggirkan mangsa buli ini kerana dengan cara ini ia akan menimbulkan masalah yang berat kepada mangsa buli. Dorongan dan sokongan haruslah diberikan kepada mangsa buli supaya semangat dan kekuatan dapat dibina semula dalam dirinya. 7.0 Kesimpulan Sekolah merupakan sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada masyarakat yang lebih luas. Di samping mengajar, guru juga memainkan peranan sebagai ‘role model’ yang utama kepada para pelajar. Sesungguhnya isu buli di sekolah tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja. Ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik guru, ibu bapa atau murid itu sendiri bagi memastikan institusi sekolah menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan samseng. Sama ada untuk berseronok atau kerana benci dan ingin membalas dendam, perbuatan seumpama ini tidak sepatutnya menjadi budaya yang menunjangi institusi sekolah.Masalah buli ini, walau sekecil mana pun, ia mempunyai potensi yang besar  untuk merebak dengan berluasa jika dibiarkan. Maruah dan harga diri negara kita adalah terletak pada rakyatnya yang sentiasa beretika, bermoral dan berdisiplin. 3


Comments

Copyright © 2024 UPDOCS Inc.